Saturday, September 27, 2008

Karya Sastera oleh Penulis Remaja, atau Karya Sastera Remaja oleh Penulis Dewasa

Satu isu timbul di benak fikiran saya apabila membaca cerpen yang berjudul ‘Pendidik Millenium’, sebuah karya yang ditulis oleh seorang pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, iaitu Khairool Haque. Isu yang saya pertikaikan ialah yang mana lebih baik kualitinya; karya sastera yang ditulis oleh seorang penulis remaja, atau karya sastera remaja yang ditulis oleh seorang penulis dewasa.

Merujuk kepada cerpen di atas (yang terdapat dalam buku ‘Purnama senja : Antologi cerpen Sayembara Cerpen’), tema yang ingin diutarakan penulis ialah mengenai sifat-sifat negatif seorang guru, yang berkelakuan sebagai seorang diktator. Melalui cerpen ini, saya dapat lihat dengan jelas sekali pandangan seorang pelajar remaja terhadap seorang guru yang tidak berdedikasi terhadap tugasnya. Teknik penceritaan dari kaca mata pelajar sekolah menengah membenarkan pembaca memahami perasaan pelajar apabila berhadapan dengan seorang guru yang amat ditakuti.

Cikgu Halim. Guru bahasa Melayunya yang telah membuatnya membenci bahasa ibundanya sendiri. Kakinya sentiasa berasa berat setiap kali dalam perjalanan ke bilik darjah untuk mengikuti kelas bahasa Melayunya. Sebaik sahaja dia berada di dalam bilik itu, dia seolah-olah berada dalam penjara. Kunci untuk membebaskan diri dari penjara itu hanya dimiliki Cikgu Halim. Cikgu yang memilih pekerjaan itu hanya kerana gajinya yang lumayan…

Saya dapat simpulkan bahawa apabila kita membaca karya penulisan seorang anak remaja, kita dapat memahami jalan fikiran beliau serta pandangan dan perasaannya terhadap keadaan sekeliling.

Izinkan saya membandingkan karya ini dengan sebuah karya sastera yang ditulis oleh seorang penulis dewasa, yang juga membawa tema berkenaan dengan alam persekolahan dan sifat-sifat guru yang tidak disenangi. Novel tersebut ialah ‘Subuh Hilang Senja’ yang dihasilkan oleh tokoh sastera Singapura, Suratman Markasan.


Novel ini juga memaparkan ciri-ciri negatif yang ada pada diri seorang guru, melalui watak-watak Mr Rodrigues, Mr Gazali, Cikgu Yaakub dan Cikgu Roziah. Mr Rodrigues adalah seorang guru yang tidak adil, sering menuduh Subuh, Senja, Bujang dan Salih (pelajar-pelajar Maktab Bebas Elit) tanpa sebarang usul periksa. Mr Gazali pula adalah seorang guru yang tidak bertanggungjawab. Cikgu Yaakub sangat mementingkan diri sendiri dan juga pentingkan wang. Cikgu Roziah pula adalah seorang yang miang dan pandai bermuka-muka. Ciri-ciri ini membuat Subuh serta teman-temannya benci akan keempat-empat guru tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa penceritaan penulis tentang alam persekolahan amat menyeluruh. Teknik penulisan yang menggunakan sudut pandangan orang kedua memberikan gambaran tentang emosi, fikiran dan pergolakan jiwa watak-watak. Pembaca boleh lihat aksi Mr Rodrigues, Mr Gazali, Cikgu Yaakub dan Cikgu Roziah yang dianggap kurang baik, yang boleh menyebabkan murid-murid serta guru-guru lain membenci mereka.

Perbezaan yang dapat saya perolehi dari kedua-dua karya ini ialah, dari karya ‘Pendidik Millenium’, kita dapat mengalami perasaan yang dirasakan watak (kerana ia bersifat lebih peribadi), sementara dari karya ‘Subuh Hilang Senja’, kita dapat mempelajari nilai-nilai yang dianggap tidak sesuai oleh masyarakat. Kedua-dua karya yang telah dibincangkan diatas, pada pendapat saya, mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Sebagai seorang guru, saya boleh menggunakan kedua-dua bahan sastera di dalam kelas. Saya boleh menggunakan cerpen ‘Pendidik Millenium’ di dalam kelas peringkat menengah rendah, apabila saya ingin berbincang dengan murid-murid mengenai pengalaman buruk yang pernah mereka alami. Saya pasti murid-murid dapat mengaitkan cerpen ini dengan pengalaman hidup mereka sebagai seorang pelajar. Bagi novel ‘Subuh Hilang Senja', saya boleh menggunakan beberapa petikan dari novel tersebut dalam kelas peringkat menengah atas untuk perbincangan mengenai nilai-nilai kemanusiaan. Petikan-petikan yang digunakan akan menggalak murid-murid berfikir mengapa sesetengah kelakuan dianggap negatif dalam masyarakat.

0 comments: